Friday, May 7, 2010

Tasawwuf : Cabang Agama Yang Terzalimi (Edisi Lengkap)

Tasawwuf : Cabang Agama Yang Terzalimi (Edisi Lengkap)
Oleh PANEL PENGKAJI YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN

Dalam siri tulisan kita mengenai Tajdid di minggu-minggu yang lalu kita ada menyebut bahawa Tasawwuf kerap menjadi sasaran sesetengah aliran mereka yang mendakwa Tajdid. Tasawwuf, Tariqat dan istilah-istilah yang berkaitan dengannya sering dimomokkan oleh mereka seolah-olah semua dan setiap yang bernama Tasawwuf dan Tariqat itu sesat, bid`ah dan khurafat. Strategi memomokkan istilah ini sebenarnya suatu percubaan untuk mengunci minda dan menjadikan masyarakat awam jauh hati daripada Tasawwuf dan dunianya tanpa benar-benar mengenali dan memahaminya dengan tepat. Mereka ini sedar bahawa jika masyarakat meneliti dan mendekati Tasawwuf dengan adil dan bersungguh-sungguh, kefahaman dan penghayatan yang murni terhadap Tasawwuf akan menjadi salah satu benteng yang memisahkan masyarakat daripada terpengaruh dengan aliran yang ingin mereka juarai.

Menyedari hal ini, dengan izin dan inayah Ilahi, ruangan ini dan beberapa minggu mendatang, akan cuba menghuraikan tentang Tasawwuf dan persoalan yang berkaitannya termasuklah merungkaikan beberapa salah-faham yang timbul berkaitan dengannya.

Tasawwuf sebagai Cabang Ihsan

Kunci utama kepada kefahaman yang murni terhadap Tasawwuf ialah dengan menyedari bahawa sebenarnya ia tidaklah melainkan cabang atau dimensi Ihsan daripada agama kita. Ihsan selain daripada Islam dan Iman serta kesedaran tentang akhir zaman merupakan cabang dan dimensi utama al-Din seperti yang kita semua tahu daripada Hadis Jibril yang merupakan antara induk hadis-hadis Nabi SAW. Begitu besar pengajaran yang hendak dibawa melalui hadis tersebut sehingga Jibril telah menyampaikan secara istimewa iaitu dengan merupakan dirinya sebagai manusia dan berdialog secara langsung dengan Nabi SAW bersaksikan para sahabat. Dari situ, kita semua maklum bahawa agama yang kita anuti ini sebenarnya terdiri daripada tiga cabang Islam, Iman dan Ihsan yang terjelma kepada tiga cabang ilmu utama agama iaitu Syariah, Aqidah dan Akhlak. Tiga istilah alternatif bagi ilmu-ilmu ini adalah Fiqh, Tawhid dan Tasawwuf. Jadi sebenarnya dalam peta minda Islam, Tasawwuf adalah istilah lain bagi dimensi Ihsan atau Akhlak.

Jika itulah kedudukan Tasawwuf dalam kerangka faham agama kita, tidak peliklah jika kita melihat para ulama muktabar sepanjang zaman, sebagai mereka yang paling menguasai selok-belok agama ini, bersikap sangat positif terhadap Tasawwuf dan dunia Tasawwuf. Kebanyakkan mereka terjun langsung kedalam dunia tersebut dengan mengamal, mengajar dan mengarang kitab-kitab rujukan dalam bidang ini. Selebihnya menjadi mereka yang mencintai para ulama dan pemuka Tasawwuf atau sekurang-kurangnya tidak mengambil sikap memusuhi mereka. Gambaran ini, yang akan kita perincikan nanti, sepatutnya sudah cukup menjadi asas untuk kita bersikap positif terhadap Tasawwuf.

Imej-imej Negatif Tasawwuf

Tapi kenapa masih ada yang takut dengan Tasawwuf atau memandangnya sebagai asing atau negatif?

Ihsan-Akhlak-Tasawwuf, jika direnungi, adalah dimensi dalaman atau batin agama kita. Kerana tabiatnya yang begitu memang salah-faham dan kekeliruan mudah timbul berkenaan Tasawwuf terutama di peringkat amalan dan perbahasan yang lebih tinggi. Mendekati Tasawwuf ditahap yang tinggi tanpa panduan guru yang berkelayakan boleh menyebabkan timbulnya ajaran sesat dan salah. Bila ini berlaku, ajaran-ajaran salah ini sering mendapat liputan meluas dan sensasi di media seperti dalam kes Hassan Anak Rimau, Ayah Pin dan al-Arqam. Kumpulan dan ajaran Tasawwuf yang menyeleweng sering tetap menggunakan istilah-istilah dalam dunia Tasawwuf seperti tariqat, syeikh, mursyid, awrad, kasyaf, yaqazah dan seumpamanya. Akhirnya istilah-istilah ini turut terpalit dan dilihat negatif sedangkan hakikatnya tidaklah begitu.

Sebenarnya penyelewengan turut berlaku dalam cabang agama yang lain seperti cabang Syariah. Malah penyelewengan dalam cabang Syariah mungkin lebih meluas dan melibatkan lebih ramai orang dan kumpulan. Cuma mungkin kesannya tidak begitu kelihatan atau kurang dirasakan oleh mereka yang terlibat. Atau jika menonjol sekalipun ia biasanya tidak akan dikaitkan sebagai kelemahan cabang ilmu syariah atau fiqh. Bukankah masih banyak penyelewengan daripada landasan hukum syariah yang ada dalam masyarakat kita?

Dalam bidang dan kumpulan mana pun akan ada mereka yang menyeleweng atau ekstrim. Soalnya, adakah adil kita menilai dan menghukum sesuatu bidang atau kumpulan hanya dengan merujuk kepada mereka yang menyeleweng atau sesat yang muncul dari bidang atau kumpulan itu? Jika begitu banyaklah bidang dan cabang ilmu yang harus kita tolak kerana adanya ‘kambing hitam’ yang muncul daripada kalangan pengamalnya! Adakah bijak kita meminggirkan Tasawwuf hanya kerana beberapa individu dan kelompok yang sesat yang timbul dari dunia Tasawwuf?

Segelintir mereka yang salah menghayati Tasawwuf juga menyebabkan timbul imej seolah-olah Tasawwuf adalah anti-dunia, anti-kemajuan dan anti-perjuangan. Kita akan huraikan nanti betapa tersasarnya tanggapan jika melihat pencapaian dan perjuangan para tokoh dan pemuka Tasawwuf, dulu dan kini. Tetapi harus diingat, jika Tasawwuf hendak dinilai dengan neraca seseorang yang memang tenggelam dan mabuk dengan dunia dan material memanglah Tasawwuf akan dilihat pasif dan tidak cukup dinamik.

Ada juga orang-orang yang baik-baik dan minatkan agama tetapi punya tanggapan bahawa Tasawwuf adalah ilmu yang terlalu tinggi untuk mereka. Kami belum layak untuk mengaji Tasawwuf.., kata mereka. Ini juga satu sindrom yang amat merugikan kerana ia menjauhkan mereka daripada apa yang sangat mereka perlukan dalam kehidupan mereka. Siapakah di kalangan kita yang tidak perlukan penyucian diri dan peningkatan keruhanian? Malah ini adalah suatu keperluan bagi setiap Muslim pada setiap ketika dalam hidupnya. Kita akan jelaskan nanti betapa Tasawwuf, seperti juga ilmu-ilmu lain ada tahap dan peringkat-peringkatnya. Selagi mana kita mendatangi Tasawwuf mengikut tahap dan kaedahnya, dengan bimbingan guru yang layak maka tidak timbul sindrom tidak layak atau belum sesuai belajar Tasawwuf.

Ada juga disana kelompok dan kumpulan yang sentiasa mencemburui dunia Tasawwuf dan pendokongnya kerana Tasawwuf dilihat sebagai aliran tandingan kepada aliran yang mereka juarai. Lantas mereka sering cuba menempelkan label-label bid`ah, khurafat dan taasub kepada Tasawwuf. InsyaAllah kita akan membahaskan asas-asas al-Quran dan al-Sunnah di sebalik Tasawwuf. Jika difahami dengan jujur, Tasawwuf yang murni adalah bebas daripada label-label ini. Sebaliknya, jika diteliti, kelompok yang mentohmah Tasawwuf, sering terlibat dengan unsur-unsur bid`ah, khurafat dan ta`asub. Tengok sahaja bagaimana mereka menjulang tokoh-tokoh mereka sendiri dalam pelbagai bentuk dan cara. Seolah-olah tokoh-tokoh ini sahaja yang memonopoli kefahaman dan kebenaran. Bukankah ini taasub walaupun tiada tangan yang dicium atau berkat yang diambil?

Marilah dalam minggu-minggu mendatang bersama kami dalam perjalanan mendekati Tasawwuf agar ia tidak terus menjadi cabang agama yang terzalimi.

No comments:

Post a Comment